Jais
Sahok
Permulaannya
Di
hadapan rumah saya ada sebatang pokok. Pokok yang saya alih sendiri dari
kawasan rumah – rumah yang berdepan dengan bangunan DBP Cawangan Sarawak tetapi
berseberangan jalan. Pokok itu, namanya saya tidak begitu pasti tetapi
merupakan anak pokok, hasil ‘tahi burung’ – pokok yang sejenis dengan
pokok-pokok yang besar-besar di tepi-tepi jalan di Kampung Tunku, khususnya
pokok-pokok di tepi padang bola sepak.
Saya
tahu bahawa pokok itu akan membesar di kawasan rumah saya maka saya alih ke
tepi jalan. Antara sebab saya mengalihnya:
i.
Mengelak
tumbesarannya di dalam kawasan rumah saya
ii.
Memberi
peluang tumbesarannya di tepi longkang antara rumah saya dan lorong B4 atau
Jalan Tan Sri Abang Marzuki.
iii.
Menjadi
perlindungan kanak-kanak yang bermain basikal dan skateboard di lorong itu
iv.
Menjadi
tiang ikat tali badminton anak-anak saya
v.
Menghijaukan
kawasan rumah saya sendiri
Bagaimanapun
apabila pokok itu membesar, jiran saya yang tidak begitu dekat, tidak begitu
gemar lalu memohon kebenaran saya untuk
menebang pokok itu. Saya benarkan dengan syarat beliau memotong lebih kurang 10
kaki dari mula bumi supaya pokok itu tidak mati.

Dia
pun bersetuju memanggil pihak DBKU untuk menjahanamkan pokok saya itu. Maka
berlakulah penebangannya ketika saya tiada di rumah.

Dia
sangat kecewa kerana tempat mereka berlindung dari panas sudah tumbang, ranap,
musnah dan jahanam.
Saya
yang menanam pokok itu berasa itulah perkataan yang sesuai untuk keadaannya.
Semua dahannya berlonggok di hadapan rumah saya – dalam keadaan baik. Dua hari
kemudian pihak DBKU melicinkannya. Maka tinggallah tunggulnya setinggi 3 kaki –
tamatlah riwayat pokok itu.
Penulisan
Saya
menganggap penulisan novel ini bermula daripada dua peristiwa:
i.
Pokok
dimusnahkan
ii.
Peraduan
penulisan cerpen
Saya sangat sayang akan pokok itu. Saya tidak sayang
kepadanya kerana pokok tetapi saya sayang kepadanya kerana kepentingannya dalam
alam sekitar kita. Saya cinta kepada hutan kerana saya berasal dari kampung, kampung
pedalaman yang sejuk nyaman tidak kira siang atau malam. Ketiadaan pokok menyebabkan
saya perindu yang syahdu. Kematian pokok di hadapan rumah saya itu menyebabkan
saya pilu.
Lebih daripada itu, saya ada ilmu sains. Saya tahu
tentang makna ekologi, biologi dan biodiversiti. Sumbangan klorofil yang
berbilion bilangannya dalam daun-daun hijau pokok itu yang menjana oksigen –
jiran saya memang tidak tahu. Saya tahu. Harganya sama nilai dengan pemberian
Allah. Sebab pokok itu memang anugerah Allah – sama seperti kehidupan yang
dimungkinkanNya di buminya yang diwujudkan sementara ini.
Saya masih mahu juga pokok itu berada di hadapan
rumah saya. Tentu sekali saya ganti pokok itu.
Peristiwa pokok tertebang itu kebetulan mencetuskan
idea apabila MOSTI (Ministry of Sains, Technology and Industri, Malaysia)
menganjurkan peraduan penulisan cerpen kanak-kanak bertemakan alam sekitar.
Maka saya pun tulislah cerpen yang berjudul Bujang Batu dan Pokok Di Hadapan
Rumahku.
Rezeki Allah memang ada dimurahkan untuk milik saya
ketika itu, iaitu pada tahun 2000, saya mendapat tempat pertama. Lalu penerbangan saya dibiayai untuk ke Kuala
Lumpur semata-mata untuk menerima cek hadiah bernilai RM3 000.00.
Cerpen Bujang
Batu Dan Pokok Di Hadapan Rumahku itu kekal sebagai sebuah cerpen
kanak-kanak begitu sahaja buat seketika. Kemudian saya kirimkan ke DBP Cawangan
Sarawak dan kemudian ke DBP Kuala Lumpur, cerpen itu tetap terbenam begitu
sahaja. Menang tetap menang tapi tidak seorang pun membacanya.
Proses Novel
Oleh sebab saya sangat teruja oleh kemenangan
peringkat kebangsaan, maka saya karang sebuah novel berdasarkan cerpen Bujang Batu Dan Pokok Di Hadapan Rumahku.
Perkara ini sudah biasa saya lakukan kerana novel Buhul-Buhul Kasih di Benang
Basah, Detik, Ngoncong, Perempuan Tua Di Bangunan Satok, Mega-Mega Kelabu, Di
Hujung Cuti, Hisham dan karya-karya yang lain banyak yang terhasil daripada
cerpen.
Ini proses biasa. Shahnon Ahmad pun memproses
beberapa buah novel beliau melalui proses pemanjangan cerpen. Jong Chian Lai
pun begitu. Novel Wi juga merupakan pemanjangan cerpen Wi dan William karya
Azizi Haji Abdullah.
Apabila siap sekitar tahun 2001, saya terus
menghantar novel ini ke DBP Cawangan Sarawak. Namun tidak ada reaksi selepas
setahun. Surat saya pun tidak dibalas.
Pada tahun 2002, saya kirimkan ke DBP Kuala Lumpur.
Selepas setahun saya menerima maklum balas mengatakan bahawa novel saya ini
tidak sesuai untuk kanak-kanak. Pembaca yang dipilih oleh pihak DBP Kuala
Lumpur untuk menilai buku saya ini berpendapat bahawa:
i.
Tidak
sesuai untuk kanak-klanak
ii.
Pemikirannya
terlalu tinggi
Bagaimanapun saya pendamkan sahaja hasrat untuk melihatnya
terbit. Saya hendak menerbitkannya sendiri, saya tidak ada rangkaian pemasaran
yang baik, maka saya tidak begitu yakin. Kalau saya jual sendiri, di mana saya
hendak berjual.
Namun, rezeki tetap ada. Saya mempunyai peluang
untuk ke kuala lumpur kerana ada aktiviti di DBP Kuala Lumpur. Pekluang ini
saya guinakan untuk mengadukan hal kegagalan ini kepada teman lama, mantan
Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Tuan Haji Khalid Ahmad.
Dalam perbualan itu beliau tidak pun memberiikan
saya cadangan melainkan saya yang mengemukakan cadangan itu sendiri.
Kata saya, pelik benarlah pegawai DBP di Kuala
Lumpur ni. Kalau tidak sesuai untuk kanak-kanak, kerana pemikirannya terlalu
tinggi, watak itu sesuai untuk watak remaja, terbitkan sahaja sebagai novel
remaja.
“Yalah, kata Haji Khalid. Awak hantarlah sekali
lagi. Berikan cadangan itu.”
Maka saya pun menghantar manuskrip ini sekali lagi
bersama-sama cakera padat supaya pihak DBP tidak perlu menaipnya lagi.
Akhirnya begitulah, mengalami beberapa perubahan,
khususnya peremajaan watak kanak-kanak di dalamnya maka terbitlah buku ini pada
tahun 2008. Saya menerima naskhah contohnya sekitar bulan Julai atau Ogos.
Inilah buku saya yang ke-42.
Mengapa
Novel ini?
Novel ini ialah novel fiksyen sains
berdasarkan ilmu biologi-ekologi. Saya berpendapat bahawa ilmu sains yang
diterapkan ke dalam fiksyen untuk mewajarkannya sebagai fiksyen sains
semestinya asi. Yang imaginatif holistik, takut saya, menjadi bohong. Saya
tidak percaya kepada fiksyen yang berbohong. Saya berfikiran dan berpendirian
bahawa sistem kognitif manusia harus bertapak di bumi nyata. Maka buku ini
mengandung ilmu sains yang asi.
Para pembaca harus diberikan ilmu yang benar dan
asi. Penulis tidak boleh berbohong. Seperti karya sejarah juga, faktanya mesti
betul. Oleh sebab itulah juga dalam mana-mana karya saya yang lain, dalam
proses memberi perisian keilmuan di dalamnya, saya membuat pengumpulan data,
maklumat dan ilmu pengetahuan untuk saya adun ke dalamnya secara manipulasi.
Teknik inilah yang saya lakukan untuk menghasilkan
novel ini. Ilmu sains, khususnya ekologi dan alam sekitar kita yang tergarap
dalam novel ini sememangnya sudah saya kuasai sejak saya masih bersekolah. Saya
pelajar sains sehingga tingkatan enam. Apabila belajar di maktab perguruan
baharulah saya bertukar bidang kepada seni perusahaan, dan kemudian di universiti
bertukar bidang ke bidang bahasa dan sastera.
Di peringkat sarjana saya mendekati ilmu pembangunan
sumber manusia (UPM) dan pengurusan maklumat (UiTM) tetapi kemudian beranjak
pula ke bidang pengurusan ilmu pengetahuan di fakulti Sains Kognitif dan
Pembangunan Manusia, UNIMAS.
Pada pandangan saya, ilmu yang pelbagai ini akan membantu
saya memperkaya khazanah ilmu sedia ada yang sudah bertakhta dalam sistem
kognitif saya. Ini menjadikan novel kecil saya ini besar.
Apakah
elemen-elemen keilmuannya?
Jika ditelusur
dengan rinci, terdapat beberapa banyak elemen dalam karya sastera ini.
Elemen-elemen itu elok saya bahagikan kepada dua, iaitu:
i.
Aspek intrinsik sebuah
novel
ii.
Aspek ekstrinsik sebuah
novel
Saya yakin,
sesiapa pun yang menulis novel akan menghasilkan novel melalui pementingan
aspek intrinsik karya genre novel seperti tema, persoalan, plot, watak dan
perwatakan, mesej dan amanat, nilai moral dan keagamaan, nilai kemanusiaan dan
sebagainya. Manipulasi bahasa sudah tentu menjadi alat pemancing daya baca para
pembaca.
Aspek
ekstrinsiknya pula ialah ilmu sains yang cuba saya bawakan melalui interaksi
ayah dan anaknya yang masih belajar di sekolah menengah (asalnya di sekolah
rendah tetapi oleh teguran penilai yang enggan mengiktiraf kehebatan keilmuan
kanak-kanak, dan kerana saya mahu novel saya terbit, maka saya patuh).
Antaranya termasuklah:
i.
Cara pokok memproses
makanan yang berguna untuk respirasi pokok dan pernafasan manusia
ii.
Cara pokok melindungi
alam persekitarannya
iii.
Cara pokok memperoleh
garam galian dan air dari dalam tanah
iv.
Cara akarnya mencangkap
tanah untuk menjamin kehidupannya yang perlu tegak dan melawan tenaga angin dan
sebagainya
Konfliknya?
Konflik yang saya wujudkan dalam novel ini sebagai usaha
untuk mewajarkannya sebagai karya sastera termasuklah:
i.
Antara
watak Arif Hafsham dan Pak Rahmat Dadu
ii.
Konflik
antara watak ayah kepada Arif Hafsham dengan Pak Rahmat Dadu (yang tidak menepati
janji penebangan pokoknya)
iii.
Konflik
ayah dan anak – menyelesaikan masalah anak yang hendak menimbulkan masalah
kepada orang tua, yang kebetulan jiran mereka
iv.
Konflik
dalam diri watak utama, Arif Hafsham apabila dalam usia yang begitu muda
kehilangan sesuatu yang sangat disayangi sedangkan dalam masa yang sama dia
sedang merangkak dewasa.
v.
Konflik
alam sekitar
vi.
Antara
manusia jahil alam sekitar dengan orang yang berilmu sains serta bapa yang
mendewasakan anaknya dalam alam pembangunan dan modenisme semasa
Penutup
Apabila ditelusur sepintas lalu,
novel ini kecil sahaja – kisah kanak-kanak tanpa kesan semerta yang gagah
signifikan. Bagaimanapun oleh sebab saya memancing upaya fikiran dan kerancakan
gugahan sistem kognitif manusia.
Sebagai seorang pengamal kritikan sastera, pada
pandangan saya sendiri, novel ini sesuai dipukur piawai berdasarkan ilmu inteligens sosial yang diperkenalkan oleh Daniel Goleman atau ESQ yang diperkenalkan oleh Ari
Ginanjar Agustian. Ditelusur melalui teori sains dan ekologi pun saya yakin
buku kecil ini dapat berdiri tegak.
Selamat membaca.
No comments:
Post a Comment