Wednesday, March 2, 2016

Keterampilan Guru BM Alaf Ke-21

Keterampilan Guru Bahasa Melayu Alaf Ke-21

Jais Sahok (SISC+ Bahasa Melayu SM PPD Kuching)



Pengenalan
Secara umum, di luar lingkar pendidikan Bahasa Melayu (Bahasa Melayu), topik tentang ciri-ciri pendidikan alaf-21, rupa bentuk bilik darjah alaf-21, pengajaran dan pembelajaran alaf-21 dan sebagainya sudah rancak dibincangkan. Namun aspek yang sama yang secara mikro menjurus kepada pendidikan Bahasa Melayu belum kelihatan meresapi budaya pendidikan mata pelajaran ini.
Perbincangan tentang ciri-ciri guru alaf-21, keperluan guru alaf-21 dan tindakan-tindakan untuk menerampilkan guru semasa dan bakal guru Bahasa Melayu  agar mampu memenuhi sifat dan ciri-ciri guru yang dinyatakan itu masih berakhir dengan tanda soal. Pendidikan Bahasa Melayu tampak terasing dan tidakmustahil dianggap mudah dan enteng.
Guru-guru Bahasa Melayu di bilik darjah masih taksub akan kaedah pengajaran berpusatkan guru, guru memberi murid menerima, guru mengajar dan mesti melakukan pengajaran tanpa memberi pertimbangan akan kemungkinan muridnya tidak belajar walaupun dia mengajar. Senario ini sudah merajai suasana pembelajaran Bahasa Melayu merentasi tahap.
Ada pula gagasan yang lebih mutakhir, yang mengetengahkan konsep bahawa guru tidak semestinya mengajar asal sahaja dia memastikan dan memudahcarai pelajarnya belajar. Kaedah ini lebih sesuai dengan sifat dan ciri kanak-kanak generasi terkini. Penggunaan gajet TMK yang maksimum, pewujudan bilik darjah yang berinformasi pelbagai, pemberian autonomi pembelajaran kepada pelajar memaparkan pelnbagai pembaharuaa dalam proses pelajar belajar Bahasa Melayu.
Perkara-perkara ini menjadi satu fenomena yang autentik dan asi di dalam bilik darjah. Terdapat banyak guru yang melakukan pengajaran secara bertungkus-lumus sehabis kudrat tetapi kemenjadian pelajarnya masih bergayut tanpa pembaharuan, tanpa perekayasaan, gagal terampil sepenuhnya untuk memenuhi aspirasi insan generasi alaf-21.
Pelajar masih bersifat individualistik, pandai dan terampil dalam kerja bertulis tetapi kurang terampil dalam komunikasi interpersonal, tidak gemar akan kerja projek melalui perbincangan yang bersifat kolaboratif dan koperatif sedangkan dalam kehidupan seharian dalam masyarakat, perkara bekerja bersama-sama itulah yang menjadi tuntutan.
Akhirnya, dalam kalangan guru sendiri kian wujud jurang yang besar, antara guru yang mengajar secara berpusatkan pelajar dengan mereka yang mengamalkan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar yang lebih menggalakkan pembelajaran berpusatkan pelajar, berkumpulan dan berlangsung secara kolaboratif.
Sebagai renungan awal, selain keterampilan digital, berikut dikongsi beberapa ciri guru Bahasa Melayu yang perlu ditelusur, difahamkan  dan kemudian cuba diupayakan untuk dimiliki oleh GBM sendiri agar kekal relevan dan terampil di dalam dan di luar bilik darjah.


Guru Bahasa Melayu
Alaf-21
  1. Penyerap / penerima / penyesuai ilmu pengetahuan
  1. Komunikator
  1. Pembelajar dan pakar
  1. Pencipta dan pemilik visi
  1. Ketua – memimpin pembelajaran pelajar
  1. Model – pengamal ilmu
  1. Kolaboratif
  1. Pelaksana pembelajaran dibezakan (differentiated learning)
  1. Pelaku / penindak risiko
      x.            Pengamal pembelajaran melalui projek
    xi.            Pengamal pembelajaran berasaskan masalah

i.                    Penyerap, penerima dan penyesuai
Guru Bahasa Melayu (GBM) perlu mempunyai kompetensi linguistik yang tinggi. Untuk tujuan itu, GBM hendaklah memastikan dirinya menjadi penyerap, dan penerima ilmu Bahasa Melayu dari semasa ke semasa dalam keadaan yang lebih rinci dan dalam, dan kemudian menyesuaikannya di dalam bilik darjah untuk dikuasai oleh pelajarnya.
Ilmu bahasa yang mendalam dan rinci akan membantu keterampilam nimningan yang akan dimudahcarakan kepada pelajarnya. Sebaliknya, jika ilmu bahasa guru ala kadar sahaja, dia tidak akan mampu membimbing dan melonjakkan inteligens linguistik anak didiknya.

ii.                  Komunikator
Aspek komunikasi diberi keutamaan dalam gaya pembelajaran alaf-21. Kemahiran komunikasi intarpersonal menjadi bukti keterampilan ilmu yang dikuasai. Seseorang pelajar yang sudah melalui sesi pembelajaran hendaklah mampu menggunakan ilmu itu dalam komunikasinya. Begitu jugalah guru.
 Dalam hal ini, GBM tidak sahaja menggunakan Bahasa Melayu baku yang menjadi contoh dan model kepada pelajarnya, tetapi dia turut merangsang komunikasi interpersonal antara dirinya dengan pelajar dan dalam kalangan sesama pelajar juga. Dia hendaklah memicu dan kemudian memacu komunikasi berkesan agar pelajarnya mampu menjadi komunikator interpersonal dalam kehidupan sehariannya. Ciri ini penting kerana dalam kehidupan seharian, sama ada dalam kerjaya atau kehidupan seharian, komunikasi perlu merentasi semua aspek kehidupan dalam semua budaya dan melibatkan semua orang.

iii.                Pembelajar dan pakar bidang
GBM hendaklah menjadikan dirinya pelajar Bahasa Melayu yang istikamah agar ilmu Bahasa Melayunya sentiasa berkembang dan kemas kini serta merentasi semua aspek linguistik Bahasa Melayu. Penguasaan Bahasa Melayu seseorang GBM hendaklah melangkui amalan Bahasa Melayu di dalam bilik darjah dan GBM hendaklah berpuaya membantu keterampilan penguasaan Bahasa Melayu pelajarnya di luar bilik darjah, umpamanya membantu penulisan ke media massa, perbahasan antara sekolah, pidato, deklamasi sajak, menyanyi, dan sebagainya.
Kepakaran bidang sangat penting bagi GBM kerana penguasan ilmu ini bukan sahaja membantu kedudukannya dari segi keterampilan professional tetapi dalam konteks sosial juga. Guru yang berilmu menjadi guru yang lebih dihormati dan menjadi rujukan.
Sebagai pakar dalam bidangnya, GBM akan sentiasa menjadi rujukan rakan GBM yang lain dan guru-guru pengguna Bahasa Melayu dalam pengajaran mata pelajaran yang lain. Dalam  masa yang sama, GBM hendaklah membentuk komuniti pembelajaran profesional (PLC) yang sudah menjadi amalan pendidikan seantero dunia pada alaf-21 ini. Dalam PLC, GBM hendaklah meletakkan dirinya sebagai rakan pembimbing, bukan rakan dibimbing semata-mata. Dalam perspektif ini, GBM menjadi pakar rujuk.

iv.                Pencipta dan pemilik visi
Sebagai guru umumnya dan GBM khususnya, penciptaan dan pemilikan visi pendidikan Bahasa Melayu yang ampuh serta berpandangan jauh khususnya tentang kepercayaan terhadap upaya Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan sangat diperlukan. Visi pendidikannya tidak harus mengira tahap (UPSR, PT3, SPM, STPM, Ijazah) sebaliknya hendaklah menjadi fenomena pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. GBM tidak boleh mengehadkan pendidikan Bahasa Melayunya terhad kepada lulus peperiksaan sahaja.
Hal ini penting dimiliki guru kerana keperkasaan Bahasa Melayu terletak di perdu sikap dan pemupukan para GBM sendiri. GBM tidak cukup mereka bentuk rancangan pendidikannya untuk mencipta kemenjadian pelajarnya di tahap atau Gred A sahaja. Pelajar yang terampil dan komunikator yang tangkas hendaklah direalisasikan juga, di samping pelajar sepanjang hayat.

v.                  Ketua yang memimpin pembelajaran para pelajar
Mahir dalam kurikulum merupakan prasyarat untuk GBM memimpin pelajarnya dalam mata pelajaran yang diajarkan. Komited dan berupaya mempengaruhi GBM yang lain serta pelajarnya untuk menjadi terampil dalam mata pelajaran yang diajarkannya sangat dialu-alukan. Dia perlu berjaya merangsang keterampilan dan kemenonjolan anak didiknya di luar bilik darjah. Dia juga bangga menjadi mangkin kepada penggunaan Bahasa Melayu yang bermutu tinggi dalam kalangan anak didiknya khususnya dalam situasi formal.
Untuk meralisasikan impian ini, GBM hendaklah mengamalkan pengajaran yang dibezakan (differentiated teaching) kerana semua pelajarnya adalah berbeza-beza dalam kalangan mereka iaitu berbeza dari segi upaya kognitif, upaya pendengaran, pemahaman, penggunaan, kreativiti, latar belakang linguistik, pengamalan visual dan pengalaman kinestetik. GBM hendaklah memenuhi keperluan pembelajaran muridnya yang berbeza-beza itu, justeru perlu membezakan kaedah, bahan bantuan, bahan TMK, tugasan, dan hasil kerja bertulis pelajar.

vi.                Model
Banyak orang belajar secara memodeli tokoh yang dikaguminya. Pakar motivasi pun lazim menganjurkan kita mencari seseorang untuk dijadikan model jika kita mahu berjaya. Hal dan hakikat ini menyangkut kaedah belajar semula jadi yang dialami oleh semua orang iaitu meniru orang yang menjadi modelnya. Dia menjadikan seseorang sebagai model kerana dia kagum akan modelnya itu.
Untuk memenuhi keperluan ini, seseorang GBM perlu mempunyai ciri-ciri model. Dia hendaklah mengagumkan pelajarnya akan kehebatannya dalam Bahasa Melayu. Hal ini penting kerana kebanyakan pelajar merupakan peniru yang hebat. Guru model mereka sangat berpengaruh dalam bahasa yang dikuasai dan digunakannya. Oleh hal yang demikian, maka GBM perlulah menjadikan dirinya model penggunaan Bahasa Melayu yang mantap dan tuntas.

vii.              Kolaboratif
GBM hendaklah menjadi pencetus dan pengamal pembelajaran kolaboratif. Untuk tujuan itu, dia hendaklah mencipta bilik darjah yang berpusatkan pelajar, iaitu memungkinkan bilik darjah mempunyai kemudahan rujukan pantas, dan memudahcarai perbincangan untuk pelajar bertolong bantu (koperatif dan kolaboratif) dan bekerja sama-sama untuk menyiapkan projek. Hasil tugasan pelajar yang cemerlang hendaklah ditayangkan dalam tempoh tertentu di dalam kelas untuk dibaca dan turut dikuasai oleh pelajar yang lain sama ada pelajar dari kelas yang sama atau pelajar dari kelas yang lain.
Hal ini penting kerana pelajar sememangnya mempunyai upaya, kecenderungan dan kepantasan linguistik yang berbeza-beza. Layanan GBM hendaklah berbeza-beza juga terhadap mereka. Bagaimanapun peluang bekerjasama hendaklah diberikan kerana hakikat kepantasan pembelajaran mereka yang sememangnya berbeza-beza itu.

viii.            Pelaksana pembelajaran dibezakan (differentiated learning)
Berkaitan dengan pembelajaran kolaboratif dan koperatif itu, GBM hendaklah membeza-bezakan bahan untuk mengajarkan ilmu bahasa, kaedah, aktiviti, alat fikir dalam perbincangan kumpulan kaedah komunikasi hasil perbincangan dalam kumpulan, soalan tugasan dan hasil tugasan. Pembelajaran dibezakan ini juga merentasi kelas yang berlainan walaupun tahapnya sama. Hal ini penting kerana satu-satu aspek bahasa, contohnya kata nama, dipelajari di mana-mana peringkat dan tahap pun tetap kata nama, tetapi pelajar yang berbeza memerlukan pengajaran gurunya dibezakan agar memenuhi ciri dan kriteria pembelajaran setiap pelajarnya.
Konsep pembelajaran dibezakan ini perlu pula merentasi kemahiran penyoalan para guru. Ini bermakna soalan yang ditujukan kepada pelajar yang berbeza hendaklah soalan yang tidak sama, sesuai dengan tahap keupayaan pelajar itu sendiri. Di samping itu, pembezaan dalam hal yang berkaitan dengan kemahiran penyoalan ini hendaklah berbeza-beza juga antara pentaksiran untuk pembelajaran, pentaksiran semasa pembelajaran dan pentaksiran tentang pembelajaran.

ix.                Pelaku dan penindak risiko
Seseorang yang berjaya dalam kerjayanya, lazimnya pernah melakukan sesuatu yang melanggar kebiasaan. Dalam hal ini, GBM hendaklah kreatif mencipta bahan bantuan pengajaran (lebih baik cipta bahan bantuan pembelajaran pelajar), melakukan kaedah pendidikan bahasa yang berlainan daripada yang biasa, mengamalkan kebalikan (the reverse) dalam tindakan tertentu walaupun tampak berisiko.
Pendidikan Bahasa Melayu menyediakan medan yang sangat luas untuk GBM melakukan tindakan yang pelbagai selagi dia dapat merangsang deria pembelajaran pelajarnya. Kreativiti berbahasa merupakan ciri inteligens linguistik yang tinggi. Linguistik inteligens yang tinggi akan memungkinkan pemikiran linguistik yang kreatif sekali gus memungkinkan pelajar mempunyai kritiviti yang tinggi.

x.                  Pengamal pembelajaran melalui projek (Pembelajaran Barasaskan Projek: PBP)
Salah satu kaedah pembelajaran untuk penguasaan maksimum satu-satu bidang ilmu ialah pembelajaran melalui pelaksanaan projek. Pembelajaran sains dan teknologi sudah lama dilakukan melalui pelaksanaan projek tertentu. Begitu juga dengan mata pelajaran matmatik, namun pembelajaran Bahasa Melayu masih belum mementing kaedah PBP.
Kebaikan PBP ialah peluang kepimpinan, kolaboratif, kebertanggujgjawaban dan penciptaan pelajar berautonomi (autonomous learners). Pelajar yang diberikan autonomi untuk belajar sendiri (tetapi diberi panduan dan pemudahcaraan oleh gurunya) ialah pelajar yang terlonjak dan sangat tinggi keyakinan linguistiknya. Pelajar yang berkeyakinan tinggi ialah pelajar yang akan memperoleh keterampilan tinggi dan kejayaan cemerlang dalam penguasaan ilmunya.

xi.                Pengamal pembelajaran berasaskan masalah
Ada ketikanya GBM perlu melaksanakan pembelajaran berasaskan masalah. Umpamanya, guru hendaklah menganalisis masalah yang dialami oleh muridnya, dan menjadikan masalah yang dikenal pasti itu sebagai nilai pemicu (take off value)  pembelajaran dan pengajarannya. Antara masalah yang lazim dalam kalangan pelajar ialah:
·           kesalahan tatabahasa yang terlalu banyak dan rencam
·           kekurangan atau ketiadaan alat pemikiran, lebih-lebih lagi alat pemikiran linguistik Bahasa Melayu
·           pengalaman linguistik yang terlalu berbeza-beza
·           masalah persekitaran yang tidak kondusif pembelajaran
Audit Bahasa Melayu yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka terhadap kementerian dan jabatan tertentu akhir-akhir ini merupakan contoh pembelajaran berasaskan masalah yang dapoat diadatasi oleh GBM.

Kseimpulan
Hakikat bahawa kanak-kanak generasi terkini ialah kanak-kanak yang berbudaya gajet yang serba pintar, maka pendidikan yang berbentuk tradisional yang tidak memanipulasikan alat elektronik yang canggih dan gemilang itu akan menafikan aset sedia ada para pelajar. Begitu juga dengan keperluan kecanggihan pemikiran yang perlu ada dalam kalangan pelajar, justeru, sangat diperlukan oleh GBM.
Antara alat fikir yang diwara-warakan untuk digunakan oleh pelajar yang sedang berbincang secara kolaboratif dan koperatif di dalam bilik darjah termasuklah:
·         Soalan Wartawan (journalist questions),
·         Matriks Soalan (Q Matrix),
·         Kekunci Pemikiran Ryan (Ryan Thinkers Keys),
·         CoRT (alat-alat pemikiran dalam Cognitive Research Trust), dan
·         Enam Warna Topi Pemikiran (ciptaan Edward de Bono).
Di samping itu, pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar hendaklah menggunakan peta-peta fikir yang relevan kepada topik yang sedang dipelajari dan dibincangkan. Antara peta fikir yang lazim dalam sistem pendidikan di Malaysia termasuklah:
·         iTHINK (peta bulat(an), peta buih, peta buih berganda, peta pokok, peta dakap, peta alir, peta pelbagai alir, peta titi),
·         peta minda dan
·         alat cMAP.
Ilmu bahasa yang dibawa oleh guru yang seterusnya difaham, dianalisis dan digunakan oleh pelajar yang menggunakan pelbagai alat fikir dan memetakan ilmu bahasa mereka melalui peta fikir yang tertentu akan menjadikan mereka pemikir bahasa yang autentik. Pemikir bahasa yang autentik ini akan merealisasikan impian pelajar berfikiran aras tinggi (linguistik), inovatid dan kreatif. Pelajar akan menjadi pencipta menggunakan Bahasa Melayu yang luar biasa hebat, umpamanya penciptaan karya-karya sastera.

Para  pelajar hendaklah disedarkan bahawa pembelajaran yang dilakukan untuk mengajar rakan sebaya melalui teknik perbincangan kolaboratif dan koperatif, khusus untuk berkongsi maklumat, akan menjadikannya jauh lebih baik daripada belajar untuk pandai. GBM pula ialah pemudah cara yang setia.

No comments:

Post a Comment