Tuesday, October 25, 2011

Elemen-Elemen Cerpen



Elemen penting sesebuah cerpen

  1. watak – dan perwatakan: pengarang akan menggambarkan aspek fizikal, emosional, spiritual (kerohanian), pendidikan, pemikiran dan segala unsur pemerwatakjannya. Penonjolan aspek ini akan disesuaikan dengan tema cerita, sesuai juga dengan aspek sosio-budaya masyarakat yang diwakili oleh watak yang dicipta itu.

  1. latar – lazimnya terdapat latar masa, latar tempat, latar suasana, latar masyarakat, dan latar persekitaran yang menaungi sesebuah karya sastera genre cerpen. Cerpen tidak dapat tidak mesti bertapak di latar yang sudah dikenal pasti oleh pengarang. Pengarang akan melukiskan gambaran yang akan menampakkan elemen ini secara yang indah.

  1. matlamat – (bukan matlamat penulisan cerpen tetapi matlamat yang ingin dicapai oleh watak di dalam cerpen) watak yang berada di dan pada sesuatu latar sudah pasti perlu mempunyai matlamat yang ingin dicapai khususnya oleh watak utama. Watak utama disebut protagonis. Matlamat dapat diperlihatkan dalam bentuk matlamat hidup, matlamat ekonomi, matlamat pendidikan, pencapaian tertentu yang ingin dicapai dalam perjuangan yang dilakukan.

  1. halangan – usaha yang dilakukan watak hendak mencapai matlamatnya perlu diberi halangan yang signifikan kerana halangan pencapaian matlamat ini akan menyebabkan timbulnya konflik. Konflik mesti ada.

  1. Konflik – konflik perlu diwujudkan kerana konflik akan membantu mewujudkan aspek dramatik sesebuah karya. Walaupun konflik yang tercipta itu konflik intrinsik, tetapi kesannya tetap ada. Antara konflik yang lazim ialah:

    1.  watak berkonflik dengan dirinya (konflik dalaman);
    2. watak berkonflik dengan watak yang lain,
    3. watak dengan unsur alam seperti binatang, bencana alam, atau apa-apa sahaja yang terdapat di sekelilingnya.

  1. permulaan – permulaan cerpen lazimnya tidak ditetapkan, namun cerpen semestinya mempunyai permulaan. Ada pengarang yang memulakan cerpennya dengan gambaran, huraian, atau kaedah dramatik dengan terus memasukkan pertelagahan antara dua orang watak yang berkonflik.

  1. Pertengahan – bahagian pertengahan cerpen juga disebut badan cerpen. Bahagian ini menampakkan perisian certita, menghimpounkan segala konflik yang akhirnya diberikan penyelesaian.

  1.  akhiran – akhiran cerpen lazimnya ialah manifestasi penyelesaian masalah dalam konflik yang diwujudkan. Akhiran boleh juga dilakukan secara tiba-tiba, mendadak, secara peleraian, atau secara tidak disangka-sangka. Perkara yang penting ialah segala masalah watak dalam konflik, selesai. Akhiran cepen memberi kepuasan emosi dan kognitif kepada pembaca.

  1. teknik – terdapat pelbagai teknik penulisan yang dapat digunakan untuk menghasilkan sesebuah cerpen. Antaranya yang paling lazim ialah:

    1.  teknik plot,
    2. teknik imbas muka,
    3. teknik imbas kembali,
    4. teknik eksposisi,
    5. teknik naration,
    6. teknik log (iaitu monolog, monolog dalaman, dialog)

  1. plot – plot ialah jalan cerita iaitu cara pengarang menyusunan peristiwa demi peristiwa sama ada:
    1. secara sikuen,
    2. secara berurutan dalam disiplin sebab dan akibat,
    3. secara imbas kembali,
    4. secara imbas muka atau
    5. secara campur aduk.

  1. Tema – seperti kata Hall, The theme of a story is the implicit generality the story supports. Often we consider that a story’s theme is its reason for being. When we speak of a story’s theme, we suggest that a tale implies a central insight into human experience.  We express the theme of a story not by summarizing its plot but by a sentence or two of generalization. Ada sesetengah sarjana menganggap tema sesebuah cerpen ialah perkara terakhir yang akan ditemukan dan diperkatakan oleh penganalisis karya – tidak ditetapkan oleh penulis. Namun, dalam proses penulisan cerpen, penulis perlulah tahu akan tema cerpen yang sedang dikaryanya itu.

  1. Persoalan – persoalan ialah pelbagai perkara yang dipertentangkan dalam cerita / cereka umpamanya dalam tema pendidikan, kemiskinan sebagai hambatan kelangsungan pendidikan merupakan satu persoalan.

  1. maklumat dan ilmu pengetahuan – fiksyen bukanlah rekaan semata-mata  

  1. amanat / teguran / sindiran – melalui cerpennya, tugas penulis juga termasuklah mengetengahkan unsur pesan, memberi teguran, melontarkan sindiran. Oleh sebab itulah karya sastera dianggap mendidik khalayaknya. Elemen ini penting.

  1. Suspens – sesuatu yang luar biasa atau tidak disangka-sangka sehingga menyebabkan pembaca terpinga-pinga. Elemen ini penting untuk menambah kerancakan cerita.

  1. emosi – oleh sebab sesebuah cerpen adalah tentang watak, dan seseorang watak ada emosi, maka aspek emosi sangat penting disuburkan dalam karya. Justeru aspek ini mestilah disuburkan, mesti dikayakan, mesti banyak, dan mesti pelbagai. Antara aspeknya termasuklah suka duka, sedih pilu, gembira, teruja, terlonjak atau apa-apa sahaja aspek emosi mengikut kesesuaian konteks cerita.

  1. kerohanian – dikatakan dalam Writers Digest, terbitan Amerika Syarikat, karya yang baik ialah karya yang memberi pengalaman kerohanian kepada pembaca. Justeru, aspek ini, atas apa-apa landasan dan jenis cerita sekali pun hendaklah disuburkan.

  1. bahasa dan ilmu bahasa – keseluruhan cerpen ialah manipulasi bahasa untuk menyampaikan perkara yang ingin disampaikan oleh pengarangnya. Gaya bahasa sastera genre prosa-cerpen ialah gaya bahasa yang tersendiri. Bahasa karya sastera, sesuai dengan larasnya hendaklah bahasa yang indah. Di samping mementingkan keindahan bahasa sastera, tatabahasa bahasa BM sebagai medium penulisan hendaklah dijaga agar digunakan secara yang betul dan asi/absah. Siti Noor Ain keliatan sangat berpotensi dalam aspek ini – bolehlah disuburkan melalui karya yang lain.


xix.Judul – judul merupakan unsur yang sangat penting bagi sesebuah cerpen kerana peranan dan fungsi yang dimainkannya sehingga menampakkan kepentingannya sebagai nama kepada seseorang manusia. Justeru unsur atau elemen ini hendaklah difikirkan dengan indah agar kemunculannya penuh dengan keindahan.

Kesimpulan
Proses mengarang cerpen, ada ketikanya sangat mencabar, ada ketikanya sangat mudah. Ibarat mendayung sampan, bagi anak nelayan yang berpengalaman dengan sampan dan air / laut, mensayung sampan sangatlah mudah. Bagi anak guru yang seumur hidupnya mengajar di bandar, dan anaknya cuma sesekali ke kolam renang, tentulah bermain perahu sesuatu yang sangat siukar baginya. Begitulah penulisan cerpen. Teruskanlah menulis.

Thursday, October 20, 2011

cara menulis cerpen


Definisi
Cerpen ialah akronim daripada dua patah perkataan cerita pendek (cerpen).

Menurut A Bakar Hamid (1984: 5-6) bahawa pengertian pendek pada cerpen mestilah dilihat dari beberapa sudut, iaitu:
i.                     pertama-tama kita harus melihatnya dari sudut kuantiti. Ada orang mengatakan sebuah cerpen mestilah habis dibaca pada sekali duduk. Ada juga yang berpendapat bahawa sesebuah cerpen itu harus selesai dibaca sambil minum kopi.  Ukuran ini tidak jelas.  Ukuran yang lebih tegas dan jelas adalah dengan menyebut jumlah perkataan yang digunakan – dan menurut ukuran ini cerpen ditulis antara 500 hingga 20000 patah perkataan.
ii.                   kedua, cerpen harus dilihat dari sudut plot.  Sesebuah cerpen seharusnya cuma mempunyai satu plot dasar; tidak ada plot sampingan atau anak plot.
iii.                  ketiga, kita harus melihat cerpen dari sudut perwatakannya. Pada cerpen, tidak mungkin terdapat banyak watak. Perkembangan watak juga terbatas dalam cerpen.
iv.                 keempat, ukuran cerpen harus dilihat dari sudut kesannya.  Kesan dari sebuah cerpen mestilah satu.  Kerana temanya tidak luas, plotnys tidak bercabang-cabang, maka kesan yang ditimbulkan mestilah satu pula.


Othman Puteh (1993: 57-58) dalam bukunya Penulisan Cerpen: Visi dan Langgam mendefinisikan cerpen sebagai cereka yang bukanlah kisah yang benar-benar berlaku tetapi bukan pula imaginasi dan rekaan semata-mata.  Dengan kata lain rekaan itu bukanlah 100% fakta, sebaliknya merupakan adunan antara fakta dengan imaginasi yang wujud dalam benak  atau fikiran pengarang.

James H. Pickering dan Jeffrey D. Hoeper (1990) dalam buku mereka Literature mendefinisikan fiksyen (yang merujuk kepada cerita pendek dan novel) sebagai sebarang naratif, dalam bentuk prosa atau berangkap, yang terhasil keseluruhannya atau sebahagiannya melalui imaginasi.  Bagaimanapun kenyataan itu disanggah dengan pantasnya dengan membuat catatan bahawa:
The precise relationship between fiction and life has been debated extensively among critics and authors since classical times.  Most modern critics agree, however, that whatever is apparent factual content or verisimilitude, fiction is finally a structured imitation of life and is not to be confused with a literal transcription of life itself.

            Fiksyen selalunya mengadun bahan mentah dalam bentuk fakta ke dalam bentuk cerita melalui manipulasi bahasa dengan tujuan menyampaikan mesej tertent kepada pembacanya.

Definisi Cerita Pendek
A Short story is more than just a sequence of happening.  A fine wrought short story has the richness and conciseness of an excellent lyric poem.  Spontaneous and natural as the finished story may seem, the writer has written it so artfully that there is meaning in even seemingly casual speeches apparently trivial details.  If we scheme it hastily.  Skipping the descriptive passages, we miss significant parts.  Some literary short stories, unlike commercial fiction in which the main interest is in physical action or conflict, let of epiphany: some moment of insight, discover, or revelation by which a character’s life, or view of life, is gently altered. (X. J. Keneedy & Donna Giogia) seperti yang dipetik oleh Fatimah Busu dalam Memupuk Bakat dan Minat Penulisan Kreatif (2003)



Definisi Jais Sahok

Cerpen ialah cerita pendek (fiksyen) yang mempunyai satu plot pembina cerita tentang seorang watak utama yang yang berada di satu latar tempat yang mengalami satu latar masyarakat dan tamadun manusia pada suatu latar masa yang berhadapan dengan satu jenis masalah hidup yang menimbulkan konflik dalam kehidupannya yang akhirnya bertemu dengan jalan penyelesaian yang terkarang oleh sekitar 10 000 patah perkataan dalam laras bahasa karya kreatif-naratif.



Rujukan
A. Bakar Hamid, 1984. “Pengertian Cerpen,” dalam A Bakar Hamid & Usman Awang (penyelenggara), Panduan Menulis Cerpen. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
 
Othman Puteh, 1993. Penulisan Cerpen: Visi dan Langgam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pickering, James H.  dan Hoeper, Jeffrey D.  1990. Literature (edisi keempat).   Englewood Cliffs, NJ: Macmillan PublishingCompany.

Monday, October 17, 2011

Puisi Guru


Dari suaranya kugamit rasa
(buat pelajar yang dipinggirkan)
Dari suaranya yang tak pernah menang bicara
dari matanya yang tidak pernah menggoda
dari lidahnya yang kelu seribu bahasa
masih ada rasa di jiwa
menangkap makna
katanya… tanpa suara
cikgu…
aku mahu membaca
membaca seperti rakan sebaya
aku tidak mahu jolokan pelajar tak guna
bodoh bukan perkataannya
pelajar tuna aksara – (aku ingin mengenalnya)
pelajar bisu – (aku ada suara untuknya)
pelajar tak berguna – (aku ingin bahagia bersamanya)
sama sekali aku tidak begitu, cikgu
aku hanya sukar
hendak menyatakannya
cikgu, mengertilah dari hatiku
pandanglah dari mataku
tiada insan yang prihatin,
tiada insan yang menyatakannya
tiada insan yang membuka telinga untuk mendengar rintihanku
mengapa cikgu ?
bagi mereka, aku mungkin akan menjatuhkan maruah
dan nama baik mereka
dan katanya lagi,
cuma dari kelopak mata bicara
dan suara hati yang sukar
fahamilah aku, cikgu
selamilah perasaanku
kekadang bagai ulat
ulat yang kerdil, perlu merayap di dalam lubang
orang melontarkan gelaran kepadaku…,
aku tersinggung
orang memarahi aku kerana kelembapanku …,
aku cuma tersinggung
dan aku jadi bingung
dan aku cuma berupaya membisu
seketika tadi, dia berperi dari hati
bersama denyut nadi keinsanan
cikgu, dunia ini menyebabkan aku ngeri
orang akan mentertawakan aku tanpa pengetahuanku
akulah yang bodoh
orang menuding ke arahku
akulah anak malang itu
orang memandangku penuh simpati …
kemudian senyum penuh erti
tapi cikgu…, fahamilah
aku insan yang kekadang berasa bagai seekor ulat
yang terkulat-kulat terkemut-kemut
aku mahu mendedahkan diriku
pandanglah daku
di dalam diriku penuh kecantikan
aku ingin berkawan…
aku ingin mempunyai insan yang prihatin
dan sayang kepadaku
aku ingin ketawa bersama
dari suara yang bertakhta di hujung lidahnya
dia tetap bersuara bisu
cikgu…
wajarkah bagiku memulakan langkahku yang pertama?
bagaimana jika akuterus terpinggir?
bagaimana kalau aku tergelincir?
adakah orang yang sayang kepadaku?
cikgu, adakah…
cikgu… berilah daku jawapanmu
masih adakah yang sayang?
Masih adakah yang menjinjing tanganku?
tapi mengapa…, setiap kali kulukiskan senyuman kepada mereka, dan kurintiskan sapaan, mereka melemparkan tolehan dengan wajah durjana dan mereka berpura-pura tidak pernah mengenaliku
dan aku terpinggir begini lagi
di sini
mengapa gu?
Hanya kerana suaraku payah mengujarkan aksara
Jariku kejang mencoretkan aksara,
Dan aku belum pernah menang di pentas bicara
dalam hela nafas yang berat
suaranya meledak
cikgu…
aku kehilangan haluan…,
aku kesepian di maya pada ini
dan, kerana itulah aku menyepi
kerana itulah aku menyendiri
aku malu orang memperkatakan kehidupanku
menyoali diriku soalan yang memalukan
bertaut pada takdir tuhan
aku berasa mereka bertindak begitu kerana mereka berasa bertanggungjawab bukan kerana kehendak mereka atau kerana rasa sayang mereka
cikgu, aku cuma minta dipulihkan
masilah dekat kepadaku
dari hembusan nafasnya
yang masih panas
dia terus bersuara
cikgu…
aku mahu dipunyai
aku akan berterus terang jika aku percaya kepada mereka
cikgu…
beritahu mereka
janganlah aku dipaksa
jangan paksa aku mendendangkan kebencianku sendiri
tolonglah, cikgu
dengarlah suara hatiku…,
aku juga insan biasa
sayangilah daku…,
seperti insan punya nyawa punya jiwa
cikgu, beritahu mereka
sayangilah daku sebagai insan
atau jangan dipedulikan aku sama sekali
dari penjuru hati ini
dia terus bersuara
cikgu…
ajaklah mereka melihat
terlalu banyak kebaikan dalam keburukan kita
dan terlalu banyak keburukan dalam kebaikan kita
cuma satu cikgu
tidak ada yang memberi hak kepada kita
menghina sesama kita
cikgu…
bisikkanlah kelancaran bacamu
aku ingin menjadi terampil
cikgu…
berilah aku nafas ilmumu
aku inginmenjadi pandai
cikgu…
berilah aku kemahiran kira-mengiramu
aku ingin menang bicara
berilah aku mata dan hatimu
aku muridmu
yang menunggu kasihmu
dari suaranya yang payah
kugamit rasa seorang guru Malaysia
4 Disember 08