Monday, October 17, 2011

Puisi Guru


Dari suaranya kugamit rasa
(buat pelajar yang dipinggirkan)
Dari suaranya yang tak pernah menang bicara
dari matanya yang tidak pernah menggoda
dari lidahnya yang kelu seribu bahasa
masih ada rasa di jiwa
menangkap makna
katanya… tanpa suara
cikgu…
aku mahu membaca
membaca seperti rakan sebaya
aku tidak mahu jolokan pelajar tak guna
bodoh bukan perkataannya
pelajar tuna aksara – (aku ingin mengenalnya)
pelajar bisu – (aku ada suara untuknya)
pelajar tak berguna – (aku ingin bahagia bersamanya)
sama sekali aku tidak begitu, cikgu
aku hanya sukar
hendak menyatakannya
cikgu, mengertilah dari hatiku
pandanglah dari mataku
tiada insan yang prihatin,
tiada insan yang menyatakannya
tiada insan yang membuka telinga untuk mendengar rintihanku
mengapa cikgu ?
bagi mereka, aku mungkin akan menjatuhkan maruah
dan nama baik mereka
dan katanya lagi,
cuma dari kelopak mata bicara
dan suara hati yang sukar
fahamilah aku, cikgu
selamilah perasaanku
kekadang bagai ulat
ulat yang kerdil, perlu merayap di dalam lubang
orang melontarkan gelaran kepadaku…,
aku tersinggung
orang memarahi aku kerana kelembapanku …,
aku cuma tersinggung
dan aku jadi bingung
dan aku cuma berupaya membisu
seketika tadi, dia berperi dari hati
bersama denyut nadi keinsanan
cikgu, dunia ini menyebabkan aku ngeri
orang akan mentertawakan aku tanpa pengetahuanku
akulah yang bodoh
orang menuding ke arahku
akulah anak malang itu
orang memandangku penuh simpati …
kemudian senyum penuh erti
tapi cikgu…, fahamilah
aku insan yang kekadang berasa bagai seekor ulat
yang terkulat-kulat terkemut-kemut
aku mahu mendedahkan diriku
pandanglah daku
di dalam diriku penuh kecantikan
aku ingin berkawan…
aku ingin mempunyai insan yang prihatin
dan sayang kepadaku
aku ingin ketawa bersama
dari suara yang bertakhta di hujung lidahnya
dia tetap bersuara bisu
cikgu…
wajarkah bagiku memulakan langkahku yang pertama?
bagaimana jika akuterus terpinggir?
bagaimana kalau aku tergelincir?
adakah orang yang sayang kepadaku?
cikgu, adakah…
cikgu… berilah daku jawapanmu
masih adakah yang sayang?
Masih adakah yang menjinjing tanganku?
tapi mengapa…, setiap kali kulukiskan senyuman kepada mereka, dan kurintiskan sapaan, mereka melemparkan tolehan dengan wajah durjana dan mereka berpura-pura tidak pernah mengenaliku
dan aku terpinggir begini lagi
di sini
mengapa gu?
Hanya kerana suaraku payah mengujarkan aksara
Jariku kejang mencoretkan aksara,
Dan aku belum pernah menang di pentas bicara
dalam hela nafas yang berat
suaranya meledak
cikgu…
aku kehilangan haluan…,
aku kesepian di maya pada ini
dan, kerana itulah aku menyepi
kerana itulah aku menyendiri
aku malu orang memperkatakan kehidupanku
menyoali diriku soalan yang memalukan
bertaut pada takdir tuhan
aku berasa mereka bertindak begitu kerana mereka berasa bertanggungjawab bukan kerana kehendak mereka atau kerana rasa sayang mereka
cikgu, aku cuma minta dipulihkan
masilah dekat kepadaku
dari hembusan nafasnya
yang masih panas
dia terus bersuara
cikgu…
aku mahu dipunyai
aku akan berterus terang jika aku percaya kepada mereka
cikgu…
beritahu mereka
janganlah aku dipaksa
jangan paksa aku mendendangkan kebencianku sendiri
tolonglah, cikgu
dengarlah suara hatiku…,
aku juga insan biasa
sayangilah daku…,
seperti insan punya nyawa punya jiwa
cikgu, beritahu mereka
sayangilah daku sebagai insan
atau jangan dipedulikan aku sama sekali
dari penjuru hati ini
dia terus bersuara
cikgu…
ajaklah mereka melihat
terlalu banyak kebaikan dalam keburukan kita
dan terlalu banyak keburukan dalam kebaikan kita
cuma satu cikgu
tidak ada yang memberi hak kepada kita
menghina sesama kita
cikgu…
bisikkanlah kelancaran bacamu
aku ingin menjadi terampil
cikgu…
berilah aku nafas ilmumu
aku inginmenjadi pandai
cikgu…
berilah aku kemahiran kira-mengiramu
aku ingin menang bicara
berilah aku mata dan hatimu
aku muridmu
yang menunggu kasihmu
dari suaranya yang payah
kugamit rasa seorang guru Malaysia
4 Disember 08

No comments:

Post a Comment