Pembelajaran BM Berasaskan Projek
Jais Sahok (SISC+ Bahasa Melayu SM) MD
Pengenalan
Pembelajaran berasaskan projek (PBP) ialah pendekatan
pembelajaran yang sistematik mengajarkan sesuatu mata pelajaran dalam pelbagai
dimensi yang kritikal untuk mencipta kejayaan khususnya dalam bilik darjah abad
ke-21 ini. Kaedah ini melibatkan pelajar dalam penguasaan ilmu pengetahuan yang
diperlukan dan kemahiran seharian melalui kaedah yang diperluas, proses inkuiri
berpusatkan pelajar yang dibentuk melalui soalan dan teknik penyoalan yang autentik
untuk mencapai hasil dan projek yang direka bentuk secara teliti.
Mengapa PBP disarankan? Menurut Stephanie Bell, PBP
disaran sebagai satu pendekatan pembelajaran kerana
i.
Menjamin
tanggungjawab pembelajaran, komitmen, belajar secara berdikari dan berdisiplin
ii.
PBP memungkinkan
pembelajaran sosial yang memungkinkan pelajar menguasai dan mengamalkan
kemahiran komunikasi abas ke-21, yang antaranya merangkumi kepetahan,
pembujukan dan kolaborasi.
iii.
PBP memungkinkan
pembelajaran dibezakan (pelajar yang berbeza upaya diberikan projek yang
berbeza tahap dan kesukaran penyelesaiannya) dan pilihan dalam konteks ini
sangat penting bagi para pelajar. Pembelajaran dibezakan atau differentiation dalam pelaksanaan projek
membolehkan pelajar membentuk minat masing-masing dan meneroka pembelajaran
yang lebih mendalam.
iv.
PBP ialah pendekatan pembelajaran yang
mengajarkan kandungan sukatan pelajaran dalam kurikulum melalui penyiapan
projek.
v.
Alat dan bahan teknologi khususnya teknologi komunikasi maklumat
(TKM/ICT) merangsang kreativiti dalam lingkaran kandungan kurikulum.
Ciri-ciri PBP BM
Antara ciri-ciri PBP Bahasa Melayu, ialah:
i.
Berpusatkan
kandungan kurikulum mata pelajaran
ii.
Merentasi mata
pelajaran
iii.
Terlaksana dalam
jangka masa yang lebih panjang dan penggunaan masa yang luwes
iv.
Berpusatkan pelajar
v.
Pembelajaran
koperatif dan kolaboratif
vi.
Bersepadu dari segi
kandungan dan amalan
vii.
Penggunaan pelbagai
bahan dan alat serta sumber
viii.
Merentasi
kepelbagaian dan perbezaan upaya pelajar
Hasil pembelajaran BM yang dilakukan melalui PBP ialah:
i.
Pemahaman yang lebih mendalam tentang topik
yang dijadikan projek
ii.
Pembelajaran yang
lebih rinci tentang data, maklumat, dan ilmu pengetahuan (DMI) yang berkaitan,
iii.
Pembelajaran pada aras yang lebih tinggi, dan
iv.
Meningkatkan
motivasi untuk terus belajar
Kelebihan PBP BM
PBP BM mempunyai beberapa kelebihan, antaranya:
i.
Menarik perhatian
dan minat pelajatr terhadap sesuatu topik tertentu
ii.
Memberi pelajar
peluang menjana idea berkenaan dengan projek
iii.
Menggalakkan
penyoalan
iv.
Merangsang rasa
ingin tahu setiap anggota kumpulan projek
v.
Sumbangan idea
mereka dihargai dan diiktiraf
vi.
Memberi pelajar
peluang bertanggungjawab memahamkan, melaksanakan dan menyiapkan projek
vii.
Memberi peluang
para pelajar saling menghormati (juga menghormati serta mengiktiraf perbezaan upaya
dan kebolehan antara sesama pelajar)
viii.
Memberi peluang
pembelajaran melalui rakan sebaya
ix.
Memikul
tanggungjawab secara bersama
x.
Menanggung risiko
secara bersama
xi.
Berpeluang menjadi
pelajar berautonomi (autonomous learners)
xii.
Peluang pembentangan
DMI tentang topik dan keupayaan pengucapan awam (dalam pembentangan)
xiii.
Membuat kesimpulan
dan refleksi
Proses PBP BM

PBP BM dapat dimulakan dengan:
i.
Guru merancang
projek yang hendak dilaksanakan: umpamanya pembelajaran tentang perkataan. Guru
perlu memulakan projek dengan membayangkan hasilnya kepada para pelajarnya.
Umpamanya guru boleh mengemukakan kenyataan seperti: setelah selesai
melaksanakan projek ini, seluruh aspek tatabahasa yang diperlukan untuk
peperiksaan sudah dikuasai. Guru akan menyenaraikan soalan untuk dijawab oleh
pelajar. Antara topik yang relevan termasuklah
a.
kelas kata dalam
BM,
b.
kata nama
c.
kata kerja
d.
kata adjektif
e.
kata tugas
f.
kata pinjam dari
bahasa Arab
g.
kata pinjam dari
bahasa Cina
h.
kata pinjam dari
bahasa Sanskrit
i.
kata pinjam dari
bahasa Eropah
ii.
guru memberi
taklimat projek kepada pelajar khususnya tentang bayangan kandungan projek, dan
sumber rujukan. Tentang sumber rujukan, guru boleh mencadangkan minimum 3
sumber iaitu:
a)
sumber hidup
(tokoh, pakar: seperti ahli bahasa pakar bahasa, guru cemerlang BM),
b)
sumber ensiklopedia
(seperti Kamus Dewan dan PRPM) dan buku teks (seperti Tatabahasa Dewan atau
apa-apa sahaja buku yang berkaitan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka),
c)
sumber rangkaian
antarabangsa (internet) (namun guru
perlu menetapkan syarat pernyataan rujukan, kerana kebanyakan bahan bahan
rangkaian antarabangsa ini tidak piawai.
iii.
Guru memberi rangka
dan kandungan jangkaan projek. Rangka dan kandungan projek ini hendaklah
merujuk kepada kehendak dan keperluan kurikulum dan tahapnya terukur pada tahap
pembelajaran pelajar, iaitu sama ada UPSR, PT3 atau SPM
iv.
Guru memberi
bayangan keilmuan semasa pelaksanaan projek. Rujukan silang kepada dan dengan
buku teks yang dibelalkan sebagai buku teks pinjaman hendaklah dilakukan secara
sepintas lalu agar pelajar melihat pelaksanaan projek bukan sebagai tugas
tambahan atau bebanan melainkan kaedah alternatif pembelajaran BM.
v.
Guru menerangkan
isu-isu pembelajaran yang bakal dilalui. Antara isu pembelajaran yang perlu
dinyatakan dengan jelas ialah perbezaan objektif projek, perbezaan antara
kumpulan, konsep kolaboratif dan kooperatif, refleksi pembelajaran.
vi.
Guru menegaskan
tindakan yang perlu dilakukan oleh setiap ahli kumpulan dalam proses
pelaksanaan projek.
RP PBP BM
Rancangan pelaksanaan PBP BM hendaklah disediakan
mengikut piawai RPH yang lazim diamalkan oleh semua guru di seluruh negara,
tetapi hendaklah sentiasa sedar untuk memasukkan elemen pembelajaran dalam
bilik darjah abad ke-21, yang merangkumi:
i.
Objektif projek: objektif projek hendaklah menggunakan kata kerja yang berpusatkan pelajar,
umpamanya:
a.
projek ini
membolehkan pelajar membincangkan…
b.
projek ini
membolehkan pelajar menyenaraikan…
c.
projek ini
membolehkan pelajar mengenal pasti…
d.
projek ini
membolehkan pelajar menerangkan…
ii.
Kriteria kejayaan
pencapaian objektif hendaklah dinyatakan
sebagai hasil pencapaian kata kerja yang tertera pada objektif seperti:
kejayaan pencapaian objektif projek ini adalah apabila pelajar berjaya:
a.
membincangkan…
b.
menyenaraikan…
c.
mengenal pasti…
d.
menerangkan…
iii.
Jangka masa pelaksanaan projek: jika projek yang dilaksanakan berbentuk projek jangka panjang, hendaklah
dipenggal-penggal berdasarkan progres pelaksanaan atau berdasarkan minggu atau
bulan.
iv.
Pembelajaran dibezakan (differentiation): yang
merangkumi:
a.
Perbezaan soalan
(soalan yang diberikan kepada setiap kumpulan pelajar hendaklah berbeza-beza
mengikut keupayaan kognitif mereka)
b.
Perbezaan proses
c.
Perbezaan hasil dan
jangkaan
d.
Perbezaan kriteria
dan rubrik pengukuran dan penilaian
v.
Soalan-soalan pembelajaran: ada tiga kriteria atau jenis soalan pembelajaran, iaitu (a) soalan
pengukuran/ penilaian untuk pembelajaran (AfL:
assessment for learning); (b) soalan pengukuran / penilaian semasa
pembelajaran (AaL: assessment as leraning)
dan (c) soalan tentang pembelajaran (AoL:
assessment of learning)
vi.
Aktiviti: aktiviti ini
hendaklah selaras dengan objektif projek yang dinyatakan lebih awal. Kesemua
aktiviti hendaklah berpusatkan pelajar. Antara ayat yang relevan ialah:
a.
Pelajar berbincang...
b.
Pelajar
menyenaraikan…
c.
Pelajar mencari
maklumat berkaitan dengan…
d.
Pelajar
menghuraikan…
e.
Pelajar membuat
rumusan.
f.
Pelajar
membentangkan…
g.
Pelajar
mempamerkan…
vii.
KBAT: RP hendaklah
menunjukkan kemahiran berfikir
linguistik atau menggunakan bahasa Melayu secara beransur-ansur untuk berfikir
pada aras tinggi
viii.
Ilmu bahasa yang dipelajari: perlu dinyatakan aspek bahasa yang dipelajari semasa pelaksanaan projek
sama ada tentang kata, morfologi kata, tanda baca, frasa dan ayat, atau wacana.
ix.
Pembelajaran berpusatkan pelajar: kooperatif dan kolaboratif (perlu dinyatakan dalam garis panduan
pelaksanaan projek)
x.
Refleksi (yang merangkumi
empat elemen): (a). pencapaian objektif dan kriteria kejayaan pencapaian
objektif; b. kekuatan, kelemahan dan perkara menarik tentang pembelajaran yang
dilakui oleh pelajar (maklumat dapat diperoleh melalui komen pelajar melalui
amalan lot parkir); (c) susulan kepada atau tindakan terhadap refleksi (b), dan
(d) pernyataan tentang kelas yang akan datang (jika diteruskan dalam pengajaran
dan pembelajaran (pdp) atau perancangan dalam projek yang akan datang.
xi.
Catatan: dalam ruangan
catatan ini, sangat penting dinyatakan pemasyarakatan hasil projek agar semua
pelajar dapat saling memanfaatkan hasil projek pelajar yang lain. Perkara ini
dapat dilakukan melalui (a) pembentangan secara giliran di hadapan kelas; (b)
membentangan dari dan oleh kumpulan kepada kumpulan yang lain secara giliran,
atau (c) secara pameran dalam bentuk galeri. Namun, hasil pembelajaran
hendaklah dipantau melalui latihan atau jawapan soalan yang berkaitan dengan
ilmu yang dipelajari pada tahap piawai kurikulum, iaitu soalan-soalan berpiawai
UPSR (di sekolah rendah), soalan berpiawai PT3 untuk projek pelajar di
Tingkatan 1-3, dan soalan SPM bagi pelajar di peringkat menengah atas.
PBP BM
Oleh sebab PBP ialah pendekatan alternatif kepada pembelajaran
dan penguasaan BM, maka PBP BM memungkinkan dua jenis projek, iaitu projek
- berdasarkan linguistik tulen, dan projek
- berdasarkan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi
- Berdasarkan
linguistik tulen
Projek berasaskan linguistik tulen dapat merangkumi
bidang:
a)
Kata: kelas kata; kata
nama; kata kerja; kata adjektif; kata tugas; kata daripada bahasa serumpun;
kata pinjaman dari bahasa Arab; kata pinjaman dari bahasa Eropah; kata pinjaman
dari bahasa Cina
b)
Semantik: makna leksikal,
kolokial, sosio-linguistik, psikolinguistik, medan makna, perubahan makna dan
sebab-sebab perubahan makna
c)
Morfologi kata: kata
ganda, kata majmuk, kata berimbuhan (awalan, akhiran apitan dan sisipan)
(imbuhan kata nama, imbuhan kata kerja, imbuhan kata adjektif)
d)
Sintaksis (frasa): frasa
nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama
e)
Sintaksis (ayat): ayat inti, ayat majmuk, susunan ayat
f)
Bunga bahasa: simpulan
bahasa (simpulan bahasa berasaskan bahagian tubuh badan; simpulan bahasa
berasaskan unsur alam, darat/laut; peribahasa; pantun, dan lain-lain
g)
Singkatan dan akronim: lazimnya pelajar kurang ilmu tentang singkatan dan akronim yang sudah
piawai dalam BM.
h)
Pengaruh asing dalam BM (khususnya yang membawa kesalahan dari segi tatabahasa)
- Berdasarkan
penggunaan Bahasa Melayu Tinggi
Projek berasaskan penggunaan BM Tinggi bermaksud projek
kajian tertentu yang menggunakan BM tanpa kesalahan dan secara sedar
menggunakan ilmu bahasa yang berkaitan dengan kata, morfologi kata, semantik
dan sintaksis secara sedar. Contoh projek seperti ini:
a)
Kajian tokoh bahasa
(atau sebarang tokoh tempatan)
b)
Kajian budaya
(seperti Baju Melayu)
c)
Kajian mercu tanda
tempatan
Kandungan projek hendaklah dipersetuju oleh guru dan
menepati piawai yang ditetapkan.
Projek berasaskan penggunaan BM Tinggi yang selanjutnya
dapat dilakukan berdasarkan rajah berikut:

Untuk melaksanakan projek ini para pelajar boleh memilih
sebuah wacana seperti sebuah artikel, sebuah esei, sebuah majalah atau sebuah
akhbar, malah jika mereka mahu memilih buku rujukan mata pelajaran tertentu pun
boleh.
Daripada wacana itu, para pelajar boleh memilih untuk mengkaji
satu, dua atau kesemua aspek penggunaan bahasa yang dinyatakan. Bagaimanapun
guru hendaklah membimbing pelajar dengan rapi kerana projek ini berunsur
pengauditan bahasa dan wacana. Kerja pengauditan bahasa dan wacana memerlukan
ilmu bahasa yang mantap dalam kalangan pelakunya di samping kerana rinci dan
perlu dilakukan dengan teliti.
Persediaan dan peranan guru
Guru BM hendaklah faham akan peranannya sebagai pemicu
dan pembimbing pelaksanaan projek ini. Antara yang penting termasuklah:
i.
Guru bertindak
sebagai pemudah cara. Oleh sebab pelajar diberi peluang belajar secara
berautonomi, maka guru tidak perlu mengajar. Dia perlu memudahcara pembelajaran
dengan merangka kandungan projek serta menyediakan infrastruktur projek.
ii.
Mengenal pasti
alat-alat pemikiran yang relevan untuk memungkinkan pelajar membentuk dan
mengemukakan soalan untuk memungut data, maklumat dan ilmu pengetahuan (DMI)
dalam proses pelaksanaan projek.
iii.
Menstrukturkan
projek yang bermakna: sesuai dengan kandungan kurikulum, merentasi pelbagai
jenis ilmu bahasa, dalam lingkar piawai yang dinilai dalam peperiksaan awam.
iv.
Bekerjasama dengan
para pelajar untuk menjana soalan yang berupaya membantu pelajar memperoleh dan
mengumpul DMI.
v.
Memantau dan
mengurus projek pelajar menurut proses yang sudah ditetapkan berdasarkan manual
prosedur kerja yang dipersetujui bersama.
vi.
Membimbing pelajar menetapkan
matlamat diri dan kumpulan.
vii.
Membimbing pelajar
menyiapkan laporan projek secara berstruktur.
Peranan guru tentu sekali mencakup:
i.
Pra pelaksanaan
projek
ii.
Semasa pelaksanaan
projek
iii.
Selepas pelaksanaan
projek
Pemantauan. Jangan ada pelajar yang tidak terlibat kerana
ketidakterlibatan pelajar akan menafikan kemungkinan kooperatif dan
kolaboratif.
Guru hendaklah sentiasa ingat, perujian dan peperiksaan
yang dilalui oleh pelajar mereka sama ada UPSR, PT3 dan SPM tidak bermakna
bahawa sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan. Yang ghairah
mengorientasi pelajar untuk tujuan peperiksaan sehingga tampak ketara
seolah-olah keseluruhan pendidikan itu adalah tentang peperiksaan ialah guru
sendiri.
Semua guru hendaklah maklum bahawa perujian dan
peperiksaan ialah satu mekanisme pengukuran tahap pemerolehan ilmu pelajar yang
sudah melalui proses pembelajaran. perujian dan peperiksaan bukan orientasi
pendidikan negara. Perujian dan peperiksaan cuma mengukur tahap dan upaya fikir
pelajar setelah memperoleh ilmu yang diajarkan oleh guru dan dipelajari oleh
pelajar.
Guru juga hendaklah peka tentang penguasaan ilmu murid
yang semestinya:
i.
Diperoleh: data, maklumat
dan ilmu pengetahuan (DMI) diperoleh
melalui deria pandang, dengar dan sentuh (dengan emosi), hidu dan rasa (lidah)
namun untuk ilmu pengetahuan di dalam bilik darjah, kebanyakannya diperoleh
melalui deria visual dan dengar.
ii.
Dihantar ke sistem kognitif: DMI yang diperoleh oleh deria yang ‘menangkap’nya itu akan menghantarnya
ke sistem kognitif untuk difaham. Penghantaran DMI ini adalah dalam bentuk
isyarat kimia atau isyarat elektrik melalui neuron dalam sistem tubuh badan
kita.
iii.
Difaham: DMI yang diterima
tadi hendaklah difaham untuk dikuasai. Sistem kognitif akan mengengah mana-mana
DMI yang tidak difahamnya, sama seperti komputer yang auto delete maklumat yang tidak disave atau disimpan.
iv.
Digunakan dan diamalkan: DMI yang diperoleh dan difaham itu hendaklah digunakan (dan penggunaan
inilah yang dimanifestasikan dalam projek yang dilaksanakan dan disiapkan oleh
pelajar)
v.
Distor: sistem kognitif
akan mengimpan DMI yang difaham dan digunakan secara automatik dalam bentuk
ingatan, sama ada ingatan jangka panjang atau ingatan jangka pendek.
vi.
Diretrieve: DMI yang tersimpan dalam bentuk ingatan itu dapat pula
diperoleh semula melalui kaedah atau mekanisme retrieve DMI seperti mengingat-ingat, merenung-renung, membayangkan
atau mengimbas masa lalu.
vii.
Digunakan semula: DMI yang diperoleh semula daripada intatan (sama ada ingatan jangka
panjang atau ingatan jangka pendek) akan sentiasa dapat digunakan semula pada
bila-bila masa sahaja, umpamanya untuk menjawab soalan UPSR, PT3 atau SPM dan
digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis wacana.
viii.
Dikongsi: pengongsian DMI
dalam konyeks ini hendaklah difaham sebagai menjawab soalan ketika berkomunikasi,
menyatakan pendapat dalam kaedah kolaboratif dan kooperatif ketika menyiapkan
projek, mencari DMI yang berkaitan dengan DMI yang dikuasai.
Peranan pelajar dalam pelaksanaan PBP BM
Oleh sebab projek ini ialah pembelajaran yang berpusatkan
pelajar, maka sudah tentu pelajar memainkan peranan yang sangat penting dalam
prosesnya. Antara yang perlu diberi perhatian dan ditegaskan oleh pemudah
caranya termasuklah:
i.
Menentukan matlamat
projek
ii.
Meneroka untuk
memperoleh DMI
iii.
Bertanya untuk
memperoleh DMI
iv.
Bekerjasama dengan
mantap dengan rakan sebaya: merealisasikan pembelajaran kolaboratif dan
koperatif dalam kemahiran komunikasi yang autentik
v.
Bertanggungjawab
terhadap diri sendiri, rakan sebaya dan guru demi hasil projek yang mantap
Kebaikan PBP BM
Kajian menunjukkan bahawa PBP berupaya
i.
Meningkatkan
motivasi pelajar
ii.
Menarik minat
murid/pelajar untuk terlibat dalam pembelajaran
iii.
Lebih berkesan
daripada kaedah pembelajaran tradisional yang berpusatkan guru dari segi hasil
pembelajaran
iv.
Meningkatkan
ingatan pelajar terhadap DMI yang diperoleh dalam jangka masa panjang
v.
Meningkatkan
penguasaan ilmu pengetahuan dalam konteks pembelajaran masteri seperti yang
dituntut dalam hasil pembelajaran dan kemahiran abad ke-21
vi.
Sangat berkesan untuk para pelajar yang kurang
minat akademik dengan pencapaian yang rendah
Penutup
PBP BM menyerlahkan beberapa kekuatan yang mewajarkannya
diambil kira untuk diamalkan dalam bilik darjah tanpa mengira tahap keupayaan.
Hal ini dinyatakan demikian kerana PBP berupaya merentasi semua budaya
pembelajaran di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Prosesnya jelas.
Matlamatnya juga jelas. Kesemua tiga kemahiran utama yang dituntut dalam
pembelajaran abad ke-21 dapat direalisasikan dalam pelaksanaan PBP, iaitu:
i.
Kemahiran maklumat
dan komunikasi
ii.
Kemahiran berfikir
dan menyelesaikan masalah
iii.
Kemahiran
interpersonal dan arah kendiri
Kemahiran maklumat direalisasikan kerana semua projek
mengendali pelajar mencari, mengumpul, menyusun, mengkategorikan dan
memanfaatkan DMI. Kemahiran komunikasi pula terlaksana dalam semua dimensi dari
kemahiran mendengar dan mengikut arahan hinggalah ke perbincangan dalam
kumpulan dan kemudian menghasilkan laporan.
Pelaksanaan sesebuah projek dalam PBP memerlukan pelbagai
alat pemikiran dan pemetaan DNMI yang diperoleh dalam proses pelaksanaannya.
Antara kemahiran berfikir yang signifikan termasuklah ketika mencari maklumat
untuk mempertimbangkan SIABIDIBAM (iaitu siapa, apa, di mana, bagaimana, yang
mana, bila, mengapa). Kemahiran berfikir seterusnya akan memungkinkan pelajar
menyelesaikan masalah kerana pelaksanaan projek itu sendiri sebenarnya ialah
menyelesaikan masalah.
Kemahiran interpersonal dan arah kendiri menjadi mantap
kerana keseluruhan projek menghendaki semua ahli dalam kumpulan berinteraksi
dan berkomunikasi antara satu dengan yang lain secara sedar dan aktif dengan
setiap ahli dalam kumpulan projek mempunyai matlamat dan tanggungjawab
masing-masing.
Tq for your sharing..
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian tuan
ReplyDeleteTerima kasih
ReplyDelete